SYEIKH BADIUZZAMAN SAID NURSI
SYEIKH BADIUZZAMAN SAID NURSI
Mujaddid Islam ~Penyelamat Iman Umat Islam Turki
Pengenalan
“Apabila berkumpul cerdik luar biasa dan kekuatan hafalan yang luar biasa adalah satu perkara yang aneh.”
Begitulah kata-kata seorang ulama’ dalam menyifatkan diri Syeikh Badiuzzaman Said Nursi.
Said begitulah nama yang diberikan oleh keluarganya, telah dilahirkan di sebuah kampung yang dikenali sebagai Nurs, terletak di Wilayah Bitlis, Timur Anatolia pada tahun 1293H (1876-1877M).
Bapanya Saufi Mirza adalah seorang yang sangat wara’ dan dikatakan bahawa dia sama sekali tidak mendekati perkara-perkara yang haram. Dia juga tidak memberi makan kepada anak-anaknya kecuali setelah diyakini makanan tersebut datangnya dari sumber yang halal. Sehinggakan ketika membawa pulang binatang ternakannya, dia pastikan ternakan itu tidak me-makan tanaman dari ladang kepunyaan orang lain.
Semenjak kecil lagi Said Nursi telah menunjukkan tanda-tanda dia bakal menjadi seorang yang bijak. Dia sering menghadiri majlis-majlis yang diadakan walaupun tidak setaraf dengan umurnya.
Pendidikan Awal
Beliau menerima pendidikan awal di sebuah kampung bernama Tagh dari Syeikh Muhammad Afandi. Dia juga berguru dengan abangnya Mulla Abdullah di waktu cuti di hujung minggu.
Sistem pengajian di Timur Anatolia di waktu itu ialah dengan memberi hak kepada ulama’-ulama’ membuka sekolah agama. Perbelanjaan sara hidup pelajar dibiayai oleh pengasas sekolah sekiranya berkemampuan. Jika tidak berkemampuan, ianya akan dibiayai melalui bantuan zakat dan derma yang dipungut oleh pelajar-pelajar dari orang kampung.
Adapun Said Nursi tidak pernah mengambil derma atau zakat tersebut. Di sekolah tersebut, Said hanya mempelajari nahu dan sorof.
Pengajian asasnya dalam agama bermula di sebuah sekolah di Bayazid (Bayezit) dalam Wilayah Aghri, bersempadan dengan Iran. Di sekolah tersebut Said Nursi berguru dengan Syeikh Muhammad al-Jalali. Dia mengambil masa tiga bulan untuk menghabiskan semua kitab-kitab yang diajarkan di sekolah tersebut. Dia juga membaca matan dari kitab-kitab yang sukar, 200 muka surat dalam masa sehari dan memahaminya tanpa merujuk kepada ‘Hawamisy’ dan ‘Hawasyiy’ sehingga dia mendapat ijazah ilmiyyah dari Syeikh Muhamad al-Jalali.
Kecerdikan Luar Biasa
Said Nursi telah mempelajari sepenuhnya kitab ‘Syarah Alfiyah Ibnu Malik’ oleh Imam as-Suyuthi dan ‘al-Jami’ iaitu kitab nahu yang masyhur ketika itu. Apabila diduga dengan soalan-soalan dari kandungan kitab tersebut, dia mampu menjawabnya dengan sempurna sehingga menimbulkan rasa kagum orang yang bertanya.
Lantaran kekagumannya Syeikh Fathullah Afandi lantas menghulurkan kitab ‘Maqomat al-Hariri’ supaya dibaca oleh Said beberapa ketika. Hanya sekali baca setiap muka surat, sudah memadai untuk dia menghafalnya.
Said Nursi juga membaca kitab usul fiqh ‘Jam’ul Jawami’ oleh Imam as-Subki, satu atau dua jam sehari dalam masa seminggu. Melalui pembacaan itu, dia mampu menghafal kitab tersebut sepenuhnya. Selain dari itu, Said juga telah menghafal lebih dari lapan puluh buah kitab seperti ilmu kalam, mantiq, tafsir, nahu, hadis, fiqh dan lain-lain lagi kitab agama.
Untuk melengkapkan ilmunya, dia telah mempelajari ilmu-ilmu moden seperti Geografi, Kimia, Matematik, Falak, Fizik, Geologi, Falsafah, Sejarah dan lain-lain lagi. Dalam masa yang terlalu singkat ini, dia mampu memahami semua ilmu-ilmu tersebut, bahkan dia mampu menulis dan berdiskusi mengenai ilmu-ilmu tersebut. Lantaran kecerdikannya yang luar biasa inilah, dia telah digelarkan dengan ‘Badiuzzaman’ (Keunggulan Zaman).
Said Nursi Dan Politik
Pada akhir tahun 1900 hingga 1926 Said mula berjinak dengan politik untuk berkhidmat kepada Islam dari ancaman musuh. Dia telah menghulurkan nasihat kepada Sultan Abdul Hamid agar sentiasa berpegang dengan syari’at Allah Taala. Di samping itu dia mula menulis rencana-rencana dan berusaha untuk mem-pengaruhi pembesar-pembesar agar cenderung kepada Islam.
Namun situasi itu tidak berpanjangan kerana Said Badiuzzaman merasakan sesuatu yang mustahil untuk berkhidmat kepada Islam melalui politik ketika itu. Said Badiuzzaman pernah berkata “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik” lantaran terlalu kecewa dengan tindakan pemerintah yang mempersendakan Islam. Masjid-masjid telah ditukar menjadi gudang dan ada antaranya dijadikan kelab tempat berkumpul muda-mudi.
Bermula dari situlah Said Badiuzzaman telah mengalih pandangan dari politik kepada usaha menyelamatkan iman di Turki, tanpa melalui acuan politik sehingga ke akhir hayatnya.
Ujian & Tribulasi Hidup
Rentetan ujian yang menimpa Syeikh Badiuzzaman Said Nursi untuk renungan & i’tibar semua:
Fatrah-1: Sedari usia 15 tahun Said Nursi telah diuji berkali-kali oleh para Ulama’ dan mengada kan perdebatan ilmiah bersama mereka sehingga akhirnya mereka mengakui kehebatan ilmu yang dimilikinya.
Fatrah-2: Cabaran yang dihadapinya untuk menegakkan Syari’ah Islamiah di bumi Turki.
Fatrah-3: Perang Dunia-1 (1912-1918) penglibatannya menentang tentera Rusia dan Armenia.
Fatrah-4: Era Inggeris (1918-1923) membangkit- kan semangat dan kesedaran umat Islam menentang penjajah.
Fatrah-5: (1923 -1949) Turki dalam gengaman sekular - 29 Okt. 1923 Pengisytiharan ‘Republik’, Turki dipimpin oleh Mustafa Kamal Atarthuk.
Fatrah-6: 1950 -1960 penerimaan Rasa’il Nur –Nursi dihadapkan dengan pelbagai dakwaan palsu oleh golongan ‘anti Islam’.
Tahap demi tahap
1895 - Dibuang daerah ke Bitlis - berkait dengan pemikiran politik yang dipegangnya.
13 April 1909 - Peristiwa pengulingan Sultan Abdul Hamid - Ditahan dan dihadapkan ke mahkamah tentera kerana dituduh memberontak kerajaan.
Perang Dunia-1: Berperang menentang tentera Rusia. Ditahan selama 2 tahun setengah di tahanan Qusturma, Rusia - Dijatuhi hukuman mati, namun dibebaskan.
18 April 1920 - Inggeris menduduki Istanbul - Menentang Inggeris dengan menulis Khutuwwat as- Sitt - Dijatuhi hukuman bunuh, namun digugurkan.
- Cubaan membunuh oleh sekumpulan tentera Inggeris berhampiran Masjid Aya Sufya, namun terselamat.
1925 - Pemberontakkan Syeikh Said Bayram - berjaya dipatahkan - Nursi ditangkap walaupun tidak terlibat - berada dalam buangan; Istanbul 20 hari, Burdur 7 bulan dan Isbartah 20 hari.
1 Mac 1927 - berada dalam buangan selama 8 tahun setengah - kehidupannya dikawal ketat.
1934 - dibuang ke Isbartah kerana pengaruh Rasa'il Nur.
25 April 1935 - ditangkap bersama 20 pengikutnya - dipenjarakan di Iskishihr - di sini juga beliau dituduh menubuhkan gerakan sulit untuk menggulingkan kerajaan - dihukum sebelas bulan penjara.
Selepas bebas dari tahanan pada tahun 1936, tanpa sebarang sebab, Nursi telah dibuang ke Qastamuni utara Turki - berada selama 8 tahun di sebuah rumah berhadapan sebuah balai polis.
31 Ogos 1943 - atas alasan tersebarnya Risalah Ayat al-Kursi, rumahnya diserbu dan sebahagian surat dan karya-karyanya dirampas.
18 September 1943 - sekali lagi rumahnya diserbu - 20 September 1943, beliau ditahan tanpa sebarang bukti. Kemudiannya dibawa ke Anqarah.
1944 - tanpa sebab munasabah, beliau dipindah kan ke Dinizli dan dipenjarakan bersama 126 pengikutnya di situ - dituduh menubuhkan gerakan rahsia dan cuba menggulingkan kerajaan Turki - dibebaskan pada 16 Jun 1944 selepas 9 bulan dalam penjara.
- Dilarang bergerak bebas - terpaksa tinggal di Hotel Serir selama 2 bulan - akhir bulan Ogos, Nursi telah dibuang ke Amirdagh tanpa sebarang bukti.
23 Januari 1948 - Dengan tuduhan-tuduhan palsu, Nursi ditangkap bersama 69 pengikutnya dan dipenjarakan di Afyun - dihukum 20 bulan penjara. Di penjara ini beliau dikurung seorang diri dan juga diracun melalui makanannya.
- Selepas dibebaskan, Nursi ditempatkan di sebuah rumah yang dikawal rapi.
20 November 1949 - Nursi dipindahkan ke Amirdagh dan berada di sini selama 2 tahun. Sekali lagi beliau dibicarakan - 14 Julai 1950. Nursi dibebaskan.
22 Januari 1952 - Nursi dibicarakan di Istanbul atas dakwaan menegakkan negara yang berdasar kan kepada agama - 5 Mac 1952, Nursi dibebas kan kerana tuduhan tersebut tidak dapat dibukti kan.
- Selepas itu timbul pula isu baru - risalahnya yang bertajuk Akbar Burhan telah menyebabkan Mahkamah Samsun memanggilnya untuk dibicarakan - namun dibebaskan kerana tiada hujah yang kukuh.
12 Julai 1960 - kuburnya telah dibongkar dan jenazahnya dikeluarkan oleh pasukan tentera - dikebumikan di sebuah tempat rahsia di Isbartah.
Kembalinya Syeikh Badiuzzaman Said Nursi rhm.
Syeikh Badiuzzaman Said Nursi telah pulang ke rahmatullah pada pukul 3.00 pagi, 25 Ramadhan 1379H bersamaan 23 Mac 1960M. Jenazah Said Nursi selamat dikebumikan di perkuburan Ulu Jami' selepas solat Asar.
Sewaktu hayatnya dia telah mengarang pelbagai kitab samada dalam bahasa Arab atau bahasa Turki. Antara kitabnya yang paling masyhur ialah Risalah an-Nur yang dicetak dalam lapan jilid dan diberi tajuk pada setiap jilid iaitu:-
i) Al-Kalimat
ii) Al-Maktubat
iii) Al-Lam’at
iv) As-Sya’a’at
v) Isyaratul I’jaz Fi Mazonni Al-Ijaz
vi) Al-Mathnawiy al-Araby an-Nuri
vii) Al-Malahiq Fi Fiqhi ad-Da’wah an-Nury
viii) Saiqalil Islam
Penutup
Said Nursi sebagaiman gelarannya Badiuzzaman ternyata seorang tokoh mujahid dan mujaddid Islam yang unggul di abad ke-14. Beliau berjuang menyelamatkan akidah dan iman umat Islam Turki dengan mengorbankan seluruh kehidupan nya.
Demikianlah ujian dan penderitaan hidup yang ditempuhi oleh beliau, sepanjang hayatnya tidak henti-henti sehingga saat kembali ke hadrat ilahi, mudah-mudahan Allah s.w.t. menyediakan untuk nya sebaik-baik balasan atas amal-bakti dan pengorbanan beliau.
Saat ketika kubur Syeikh Said Nursi dibongkar dan jenazahnya dikeluarkan ramai yang bersaksi dan bersumpah bahawa mayatnya masih segar seperti baru dikebumikan, wajahnya kelihatan tersenyum apabila kain kafan yang menutupi mukanya dibuka.
Petikan ucapan Syeikh Said Nursi:
“Sekarang (selepas hampir 50 tahun) perkara itu semakin jelas, aku dapati kejayaan, kehebatan dan kemulian yang melampau kemampuan aku sendiri itu sebenarnya merupakan persediaan yang rapi bagi penerimaan Rasa’il Nur dan kepentingannya oleh Istanbul dan para Ulama’nya”
“bukannya aku yang sakit, tetapi umat dan negara yang sakit. Aku datang ke sini untuk mengubati penyakit mereka, dengan harapan dapat menyelamatkan mereka”.
“sesungguhnya punca kemunduran dan buruknya situasi yang kita hadapi ialah kerana tidak memelihara syari’at”
0 comments:
Post a Comment