asy-Syeikh Abu Hasan Ali bin Abdul Hayyi bin Fakhruddin al-Hasani.
Nama dan latar belakang keluarga
|
Beliau ialah asy-Syeikh Abu Hasan Ali bin Abdul Hayyi bin Fakhruddin al-Hasani. Keturunannya sampai kepada Abdullah bin al-Ashtar bin Muhammad bin Abdullah al-Muhdhi bin al-Hasan al-Mathna bin al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Ahli keluarga yang pertama berpindah ke India ialah Sayyid Qutubuddin al-Madani pada tahun 607H. Bapanya Sayyid Abdul Hayyi al-Hasani yang digelar sebagai Ibn Khalikan India kerana mengarang buku Nazhat al-Khawatir dalam lapan juzuk yang mengandungi nama-nama tokoh ulama’ India. Ibu Abu Hasan seorang wanita yang solehah, menghafal al-Qur’an dan syair-syair yang memuji Rasulullah s.a.w. Keluarga ini sangat menjaga adab-adab Islam, berjuang pada jalan Allah dan sentiasa ada di antara mereka yang mati syahid seperti Ahmad Irfan al-Syahid. Tidak syak lagi bahawa persekitaran ini memberi kesan dalam pembentukan jiwa Syeikh Abu Hasan Ali al-Nadwi.
Kelahiran dan kehidupan awalnya
Syeikh Abu Hasan dilahirkan pada 6 Muharram 1333H/ 23 September 1914 di kampong Takia Kala, Rae Berily, Uttar Pradesh, India. Beliau memulakan pengajian al-Qur’an di rumahnya, kemudian memasuki kuttab dan mempelajari bahasa Urdu dan Parsi. Ayahnya meninggal dunia pada tahun 1341H/ 1923M ketika beliau hampir berusia 10 tahun.
Sejak kematian ayahnya, beliau diasuh dan dididik oleh ibunya dan abang kandungnya, Dr Abdul Ali al-Hasani. Ibunya seorang yang amat peka dalam mendidik anak-anaknya terutama dalam perkara solat dengan menasihati supaya tidak meninggalkan solat dalam apa jua keadaan sekalipun. Ibunya juga sentiasa memupuk semangat cinta dan kasih sayang dan melarang sama sekali menzalimi orang.
Kemudian, beliau dididik oleh abangnya dengan mendalami bahasa Parsi, bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Abangnya telah mengamanahkan kepada sahabatnya Khalil Muhammad al-Yamani untuk mengajar al-Nadwi bahasa Arab (1924). Melalui guru ini, al-Nadwi mendalami buku-buku nahu bahasa Arab dari peringkat rendah sehingga mampu membaca kitab-kitab besar seperti Nahj al-Balaghah, Dala’il al-‘Ijaz Jurjani dan Hamasah Ibn Tamam. Kemudian beliau mendalami lagi dengan guru yang bernama Taqiyuddin al-Hilali al-Marakshi yang datang ke Lacknow pada tahun 1930.
Pada tahun 1926, Nadwatul Ulama’ telah mengadakan perayaan bersejarah di bandar Kanpur yang dihadiri oleh para ulama’ terkemuka. Antaranya ialah Hazaq al-Malik Hakim Ajmal Khan, Maulana Muhammad Ali Jauhar, Maulana Zafar Ali Khan, Sulayman Falwarawi dan Sulayman Mansurpuri, pengarang kitab Rahmatan lil ‘Alamin. Al-Nadwi telah hadir bersama abangnya yang merupakan penolong Setiausaha Nadwatul Ulama’. Al-Nadwi mengambil kesempatan berjumpa dengan mereka dan bertutur bahasa Arab dengan fasih dan lancar sehingga Sa’duddin Barradah memujinya.
Pada masa kecilnya, al-Nadwi meminati sukan hoki dan bercita-cita untuk menjadi pemain hoki yang berjaya. Walau pun begitu, minatnya terhadap ilmu pengetahuan melebihi segala-galanya. Beliau juga gemar beriadah, bola sepak, berenang, berburu dan bermain tennis.
Syeikh al-Nadwi mempelajari ilmu tafsir dari Khawajah Abdul al-Hayyi al-Faruqi dan kemudian belajar dari Syeikh Ahmad ‘Ali al-Lahori (mufassir masyhur) selama empat tahun. Memasuki Universiti Lacknow pada Ogos 1927 di dalam bidang kesusasteraan Arab ketika berusia 13 tahun. Beliau merupakan pelajar termuda dan cemerlang. Pada tahun 1929, beliau telah menerima anugerah cemerlang dari Gabenor Inggeris wilayah. Al-Nadwi kemudian mendalami ilmu hadis daripada Haydar Hasan Khan al-Tunki di Darul Ulum Nadwatul Ulama’, Lucknow pada tahun 1929 selama setahun dan berguru pula dengan Husin Ahmad al-Madani di Darul Ulum, Deoband pada tahun 1932.
Kegigihan dalam bidang Akademik dan Dakwah
Syeikh Abu Hasan al-Nadwi mula mengajar sejak tahun 1934 di Darul Ulum, Nadwatul Ulama’ bagi subjek tafsir dan sastera Arab. Pada tahun 1943, beliau telah mengasaskan Pusat Pengajian Islam-Pengajian al-Qur’an dan al-Sunnah, Persatuan Risalah Kemanusiaan antara Muslim dan Non Muslim (India) pada tahun 1951, Pusat Akademik Islam, Darul Ulum, Lacknow pada tahun 1959. Beliau juga menjadi pengerusi Darul Ulum, Nadwatul Ulama’ sejak tahun 1961 sehingga beliau meninggal dunia.
Bersama rakan-rakannya beliau menubuhkan Lembaga Pendidikan Agama di Uttar Pradessh, India Utara pada tahun 1960, mengasaskan Majlis Penasihat Islam seluruh India pada tahun 1964, mengasaskan Lembaga Undang-Undang Keluarga Islam seluruh India pada tahun 1972.
Dalam bidang penulisan, al-Nadwi mula mengarang sejak muda lagi. Artikel yang pertama diterbitkan dalam majalah al-Manar pada tahun 1931 bertajuk- ‘sejarah hidup Sayyid Ahmad Irfan al-Syahid’. Ketika itu beliau berusia 17 tahun. Buku pertama yang diterbitkan dalam bahasa Urdu ialah sejarah hidup Sayyid Ahmad Irfan al-Syahid pada tahun 1938 dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat Islam di India dan Pakistan. Beliau juga menulis buku-buku teks untuk sekolah seperti ‘Mukhatarat min Adab al-‘Arab’ (Koleksi Kesusasteraan Arab) pada tahun 1940, Qisas al-Nabiyyin untuk kanak-kanak pada tahun 1944. Sementara bukunya ynag dipuji oleh banyak kalangan ulama’-Madha Khasira al-‘Alam binkhitat al-Muslimun ditulisnya pada tahun 1944.
Semasa menjadi pensyarah pelawat di Universiti Damsyiq pada tahun 1956, beliau telah menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘tajdid serta mujaddid dalam sejarah dan pemikiran Islam’. Siri syarahan ini kemudian diterbitkan dalam bentuk buku sebanyak empat jilid bertajuk ‘tokoh-tokoh pemikir dan pendakwah dalam Islam’. Pada tahun 1958, beliau mengarang buku Qadiani, Pertembungan Antara Pemikiran Islam dengan Barat dalam Dunia Islam (1965), Rukun Keempat (1967), Sejarah Nabi (1976), Akidah, Ibadat dan Akhlak (1980) dan Sirah Saidina Ali (1988). Beliau juga menjadi pengarang dalam majalah al-Diya’ yang diterbitkan oleh Darul Ulum, Nadwatul Ulama’ (1932), majalah Nadwah (diterbitkan-1940) dan majalah al-Ta’mir (1948). Kedua-dua majalah ini dalam bahasa Urdu. Di samping itu, beliau juga menulis dalam majalah di Timur Tengah seperti al-Risalah yang diterbitkan oleh Ahmad Hasan al-Zayyat, al-Fath oleh Ustaz Mahabuddin al-Khatib, Hadarah al-Islam diterbitkan oleh Mustafa al-Siba’ie dan al-Muslimun diterbitkan oleh Said Ramadan al-Misr. Beliau juga menjadi penasihat kepada akhbar Today Millat (1962), Majalah al-Ba’as al-Islami (diterbitkan-1955), akhbar al-Ra’id (1959), majalah Ta’mir Hayat dalam bahasa Urdu (diterbitkan-1963). Kesemua akhbar dan majalah tersebut diterbitkan oleh Nadwatul Ulama’, Lucknow.
Faktor yang membentuk keperibadian:
i.Peranan keluarga
Faktor utama yang membentuk jiwanya ialah didikan ibunya bernama Khairunnisa’ yang sentiasa memberi perhatian berkenaan pendidikan agama. Sementara bapanya seorang yang berpegang kuat kepada ajaran agama. Beliau lahir dari sebuah keluarga yang cintakan agama dan ilmu serta menjadi pengarang buku. Ini termasuk peranan abangnya Dr. Abu ‘Ali al-Hasani yang mendidiknya sejak kecil.
ii.Peranan Darul Ulum, Nadwatul Ulama’.
Faktor kedua ialah peranan Darul Ulum yang mendidik nya terutama dalam kesusasteraan Arab dan kesusasteraan Urdu. Dari sini beliau menelaah kitab-kitab besar dalam kedua-dua bahasa tersebut. Pada masa ini juga, bakat menulis dan mengarang serta pidato semakin terserlah.
iii. Peranan Syair Iqbal
Al-Nadwi begitu kagum dengan syair Iqbal terutama mengenai tema kecintaan dan keimanan. Begitu juga per-temuan beliau dengan Iqbal yang memberi kesan dalam pembentukan peribadinya sehingga beliau mengarang buku riwayat hidup Iqbal dan syair-syairnya yang berjudul Rawa’i’ Iqbal.
iv. Kesan al-Quran dan Sirah Nab s.a.w.
Minatnya yang mendalam terhadap al-Qur’an dan sirrah nabi s.a.w. telah memberi kesan yang besar dalam jiwanya sejak kecil lagi. Beliau belajar al-Qur’an dengan berguru kepada Ahmad Ali al-Lahori. Syeikh juga merupakan guru tafsir al-Qur’an semasa mula berkhidmat di Darul Ulum. Di samping itu, beliau juga menerbitkan buku mengenai al-Qur’an dan ulum al-Qur’an. Al-Nadwi sejak kecil lagi juga berminat membaca buku kisah nabi-nabi dan beliau sendiri mengakui terpengaruh dengan buku Rahmatan lil ‘Alamin karangan Sulayman al-Mansurpuri yang dibacanya dalam usia 10 tahun. Akhirnya beliau juga mengarang buku sirah al-Nabawiyyah (sejarah nabi) dan buku yang berkaitan dengan subjek ini.
v. Hubungan dengan ahli Rabbani dan ahli Sufi.
Antara keistimewaan al-Nadwi dan keluarganya ialah hubungannya dengan ulama’-ulama’ rabbani yang mendidik jiwa manusia. Pendidikan ini amat penting dalam membentuk jiwa manusia. Al-Nadwi juga mengarang buku yang mencerita kan kepentingan kejiwaan yang berjudul Rabbaniah la Rahbaniah. Syeikh sendiri mendapat didikan kerohanian daripada Abdul Qadir al-Rayfuri dan Muhammad Ilyas al-Kandahlawi.
vi.Kesan subjek Sejarah dan Sains Kemanusiaan.
Syeikh al-Nadwi juga terkenal sebagai seorang yang minat dan pakar dalam bidang sejarah dan sains kemanusiaan. Tambahan pula, penguasaan yang mendalam dalam bahasa Inggeris menyebabkan beliau sentiasa terkehadapan dalam menyatakan isu-isu tersebut. Beliau sentiasa optimis dengan tamadun Islam yang akan memimpin dunia.
Tokoh-tokoh dan Buku-Buku yang mempengaruhi peribadinya.
Antara peribadi yang disebut-sebut memberi kesan kepada pembentukan ilmiah dan pemikirannya ialah Imam Ahmad bin Hambal, Syeikhul Islam ibn Taimiyah dan muridnya, Imam ibn Qayyim al-Jauziyyah.
Sementara tokoh-tokoh semasa yang mempengaruhi jiwanya ialah Muhammad Ilyas al-Kandahlawi (pengasas Jamaah Tabligh), Hassan al-Banna, Habib al-Rahman al-Sharwani, abang kandungnya Sayyid Abdul Ali al-Hasani, Sayyid Amin Husayni (Mufti Palestin), Sayyid Qutb, Muhammad Zakaria al-Kandahlawi, Abdul Qadir al-Rayfuri, Ahmad Ali al-Lahori dan Sayyid Talhah al-Hasani seorang pensyarah di Universiti Punjab.
Antara buku-buku yang memberi kesan kepada jiwanya ialah Izhar al-Haq karangan Rahmatullah bin Khalil al-Rahman al-‘Uthmani; guru di Masjidil Haram dan pengasas madrasah al-Sawalitiyyah di Mekah, al-Hind fi al-‘Ahd al-Islami karangan Sayyid Abdul Hayyi al-Hasani, Hujjatul al-Nabi wa ‘Umratuhu oleh Muhammad Zakaria al-Khandahlawi, Hayatal-Sahabat oleh Muhammad Yusuf al-Khandahlawi, Islam al-Mumtahin oleh Muhammad al-Hasani dan Mahiya al-Nasraniyyah oleh Muhammad Taqi al-‘Uthmani.
Al-Nadwi dan Manhaj Dakwah
Al-Nadwi merupakan tokoh pendakwah sebaris dengan tokoh-tokoh pendakwah besar zaman ini seperti Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Mawdudi dan lain-lain. Al-Nadwi telah menggariskan manhaj dakwah iaitu :
i. Kebangkitan dakwah itu hendaklah bertepatan dengan akidah yang berteraskan al-Qur’an dan Sunnah, amalan
Rasulullah s.a.w., Khulafa al-Rasyidin, para ahli ilmu dan akidah dari kalangan orang muslim.
ii. Pembinaan generasi muda yang mendalami ilmu agama dan pembentukan orientasi pemikiran yang soleh dan mantap yang menyinari hati-hati mereka. Generasi ini hendaklah mem-punyai hubungan kuat antara iman yang mendalam dengan amalan-amalan dari al-Qur’an, sirah nabi, sejarah Islah dan tajdid yang dapat membimbing mereka ke arah kepimpinan berwibawa. Dakwah itu hendaklah berkaitan dengan isu-isu masyarakat semasa, gerakan Islam dan aliran-aliran yang bersifat aktif dan pendirian Islam mengenainya serta kesannya dalam kehidupan.
iii. Tidak terlalu negatif terhadap pemerintah dan berjuang pada bukan musuh. Adalah menjadi kewajipan bagi pendakwah sentiasa bersikap positif dari negatif dan menyeru mereka memelihara agama Islam dan melaksanakan sistem Islam.
iv. Pemimpin kebangkitan Islam dan pendakwah hendaklah bersifat sederhana, zuhud, bersyukur dan bertawakkal dalam lingkungan syari’ah seperti mana yang dilakukan oleh salafus soleh. Kebanyakan Juru Islah ummah terdiri daripada mereka yang zuhud.
v. Hendaklah mengikat pendakwah dengan semangat berkorban dan kepahlawanan. Jika sekiranya semangat ini tidak wujud dalam diri pendakwah nescaya membahayakan dakwah yang sahih dan kebangkitan Islam.
Al-Nadwi mengariskan dasar-dasar pokok dalam merubah keadaan umat Islam & peranan mereka sebagai Juru Islah:
i. Mengerakkan iman dalam jiwa-jiwa para pemuda dalam masyarakat Islam dan menghidupkan perasaan beragama. Mereka hendaklah mempunyai akidah yang betul, ikhlas hati kepada Allah, menjauhi segala jenis-jenis syirik, akidah yang terpesong, adat-adat jahiliyah dan taklid yang bercanggah dengan ajaran Islam.
ii. Memperbetulkan kefahaman mengenai ajaran Islam daripada penyelewangan yang digambarkan oleh barat atau istilah-istlah politik, ekonomi atau falsafah.
iii. Menguatkan ikatan hubungan dengan nabi s.a.w. dengan mencintainya.
iv. Sentiasa mengekalkan perasaan pentingnya berjihad menurut perspektif Islam.
v. Mengembalikan kepercayaan dalam jiwa para intelek yang terdiri daripada pemimpin dan para pendidik mengenai kemampuan Islam untuk memimpin masyarakat dunia. Kehilangan kepercayaan diri merupakan faktor yang melanda pemimpin Dunia Islam yang menyebabkan berlakunya murtad pemikiran, krisis nilai, hancurnya kekuatan serta tenaga mereka. Perkara ini tidak sedikitpun menguntungkan masyarakat dan negara.
vi. Menukar sistem pendidikan yang diambil daripada Barat dan mengantikannya dengan acuan pendidikan Islam secara keseluruhannya.
vii. Mengerakkan kegiatan keilmuan dengan meluas. Dengan demikian, para intelek dapat mengkaji khazanah keilmuan Islam dan meniupkan semangat baru kepada ilmu tersebut.
viii. Para pemerintah dan masyarakat perlulah merancang membina tamadun Islam yang unggul, jauh daripada ikutan tamadun Barat. Ketamadunan ini meliputi seluruh bandar-bandar, rumah-rumah, masyarakat, hotel-hotel, pejabat, kapal terbang dan kedutaannya sehingga ia menjadi contoh kepada barat.
ix. Pemerintah perlu tunduk kepada syariat Allah dan berusaha membina kepimpinan berdasarkan prinsip syura dan kerjasama atas taqwa dan kebajikan.
x. Penyeruan dakwah Islamiyah kepada negara-negara bukan Islam secara berhikmah yang bersesuaian dengan prinsip Islam dan kehendak semasa.
Buku-buku al-Nadwi boleh dibahagikan kepada 10 bahagian terpenting :
i. Tokoh-Tokoh : Beliau banyak mengarang mengenai tokoh-tokoh pembaharuan Islam seperti Umar bin Abdul Aziz, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Ibn Taimiyah, al-Dahlawi, al-Sirhindi, Ahmad Irfan al-Syahid, Jalaluddin al-Rumi. Buku tersebut-Rijal al-Fikr wa al-Dakwah mempunyai empat jilid.
ii. Pemikiran dan Ketamadunan: Antaranya seperti al Sira’ bayna al-Fikrah al-Islamiah wa Fikrah al-Gharbiyyah, Islam wa Gharb, Hadith Ma’a Gharb, Ahadith Sarihah fi Amerika, Islam wa al-Mushtariqun, Madha Khasira al-‘Alam bin khitat al-Muslimin, Hadarah al-Arabiyyah dan Ila Islam min Jadid.
iii. Sirah Nabi dan para sahabat : Antara bukunya ialah Qisas al-Nabiyyin, Sirah Khatim al-Nabiyyin, al-Murtadha, Sirah Amirul Mukminin Sayyidina ‘Ali.
iv. Kesusasteraan: Antaranya ialah Mukhtarat min al-Adab al-‘Arab, Rawa’i Iqbal dan Nazarat fi al-Adab.
v. Lawatan dan Ziarah: Antaranya-Nahr Kabul ila Nahr Yarmuk, Toriq ila Madinah dan Asbu’an fi Maghrib
vi. Tauhid dan Ibadah : Antaranya-Arkan Arba’ah, al-Akidah wa Ibadah wa al-suluk fi Daw’ al-Kitab wa al-Sunnah, Rabbaniyyah La Rahbaniyyah, al-Nubuwwah wa al-Anbiya’.
vii. Isu Dunia Arab : Antara buku-bukunya ila al-Arab wa al-Islam, Ahadis Sarihah Ma’a Ikhwanina al-Arab, Mustaqbal al-‘Alam al-‘Arabiyyah dan al-Muslimun wa Qadiyah al-Palestin.
viii. Pengajian al-Qur’an dan Tafsir: Antaranya ialah Madkhal ila Dirasat al-Quraniyyah dan Sira’ bayna al-Iman wa al-Maddiyah Ta’amalat fi Surah al-Kahfi.
ix. Dakwah: Antaranya-Tarshid al-Sahwah al-Islamiah dan Rawa’i min Adab al-Da’wah fi al-Qur’an wa al-Sirah.
x. Sejarah : Antara buku-bukunya ialah Muslimun fi al-Hind dan al-Mad wa al-Jazar fi Tarikh.
Daripada penelitian di atas, sumbangan Syeikh Abu Hasan Ali al-Nadwi dalam khazanah penulisan dunia Islam tidak dapat dinafikan lagi. Beliau telah mengarang lebih daripada 60 buah buku yang ditulisnya dalam bahasa Arab.
Organisasi luar yang pernah disertainya
Syeikh pernah terpilih menganggotai Majma’ al-Ilmi al-A’rabi di Damsyik (1957), anggota Rabithah Alam Islami
berpusat di Mekah al-Mukarramah dll.
Kewafatan al-Syeikh an-Nadwi
Semoga Allah Taala memberkati hidup Syeikh, yang telah dihabiskan selama 86 tahun berjuang dan berdakwah di jalan Allah s.w.t. Pada tahun 1419H beliau telah diserang angin ahmar yang menyebabkan tangan dan kaki kanan beliau lumpuh, namun tidak berapa lama kemudian beliau beransur sembuh. Pada bulan Ramadhan 1420H beliau berazam untuk menjalani ibadah puasa di kampung kelahirannya seperti adat kebiasaannya, namun dihalang oleh para doktor. Beliau kemudiannya menjalani ibadat puasanya di Darul Ulum li Nadwah Ulama’, beribadat dengan penuh kesungguhan. Semua warga Nadwah Ulama’ bergembira dengan kehadiran beliau.
Pada 24 Ramadhan beliau pulang ke kampungnya selepas diizinkan oleh para doktor. Pagi hari Jumaat 22 Ramadhan 1420H bersamaan dengan 31 Disember 1999 Syeikh seperti kebiasaannya selepas menunaikan solat subuh, tidur seketika kemudian bangun dan menyempurnakan wirid hariannya dan membaca surah yasin 13 atau 14 kali seperti kebiasaannya, dan pada jam 11 pagi beliau mandi untuk solat Jumaat dan menukar pakaiannya dan mengenakan wangi-wangian, beliau meminta didatangkan al-Qur’an sambil mulut beliau membaca surah yasin dan pada saat itulah ruhnya kembali ke Rahmatullah.
(رحم الله تعالي وجزاه الله خير ما يجزي عالما عن دينه)
Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan rahmat dan keampunanNya, atas bakti dan sumbangan beliau; Syeikh ‘Allamah Abu Hasan Ali an-Nadwi r.h.m. taala
احب الصالحين ولست منهم عساني ان انال بهم شفاعة واكره من بضاعته المعاصي وان كنت سواء في البضاعة
rujukan :
1-Uzhoma’ al-Islam: Muhammad Sa’id Mursi
0 comments:
Post a Comment