Hadis-Hadis Kelebihan Berselawat Keatas Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم

Sunday, January 13, 2013 2:38 PM By Amien Ashbahani


Dapat Bersama Nabi Di Hari Kiamat.
Daripada ‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إن أولى الناس بي يوم القيامة أكثرهم الناس علي صلاة

Terjemahan: Sesungguhnya orang yang paling aula (utama) bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.

Orang yang berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendapat doa/selawat daripada para malaikat.
Daripada ‘Amir B. Rabi’ah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah bersabda:

ما من عبد يصلي علي إلا صلت عليه الملائكة ما دام يصلي علي فليقل العبد من ذلك أو ليكثر

Terjemahan: Tidaklah seseorang hamba berselawat kepadaku melainkan para malaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawatlah sama ada sedikit atau banyak.

Beroleh syafa’at bagi sesiapa yang berselawat dan memohonkan wasilah untuk Nabi di waktu setelah azan dia.
Daripada ‘Abdullah B. Amr al-Ash radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إذا سمعتم المؤذن فقولوا كما يقول ثم صلوا علي فمن صلى علي صلاة صلى الله عليه بها عشرا ، ثم سلوا لي الوسيلة فإنها منزلة في الجنة لا ينبغي أن تكون إلا لعبد من عباد الله وأرجو أن أكون أنا هو ، فمن سأل لي الوسيلة حلت عليه الشفاعة

Terjemahan: Apabila kamu mendengar azan dikumandangkan, ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan oleh orang yang azan. Kemudian berselawatlah kepadaku kerana sesungguhnya sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali. Setelah itu, mintalah (kepada Allah) al-wasilah untukku kerana sesungguhnya al-wasilah itu adalah suatu kedudukan yang mulia di Syurga, yang tidak sepatutnya diberikan melainkan untuk seseorang dari kalangan hamba Allah . Aku berharap semoga akulah orang itu. Maka sesiapa yang memohon al-wasilah untukku, nescaya akan halal baginya syafa’at.

Mendapat keampunan dosa serta dicukupkan keperluan dunia dan akhiratnya.
Dari Ubay B. Ka’ab radhiyallahu ‘anhu, berliau berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي. فَقَالَ مَا شِئْتَ قَالَ قُلْتُ الرُّبُعَ؟ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قُلْتُ النِّصْفَ؟ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قَالَ قُلْتُ فَالثُّلُثَيْنِ؟ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قُلْتُ أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا. قَالَ إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ

Terjemahan: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ingin membanyakkan berselawat kepadamu. Dari itu, berapa banyakkah dari doaku perlu aku jadikan untuk berselawat kepadamu?” Rasulullah menjawab:

Terserah kepadamu.” Aku pun berkata:

“Adakah satu perempat darinya?” Rasulullah menjawab:

“Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku berkata:

“Adakah separuh daripadanya?” Rasulullah menjawab:

“Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku berkata:

“Adakah dua pertiga?” Rasulullah menjawab:

“Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku pun berkata:

“Aku jadikan semua doaku untukmu.” Beliau pun bersabda:

“Sekiranya begitu, akan dicukupkan semua keinginanmu dan diampuni semua dosamu.”

0 comments:

Post a Comment